TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Sorok dadah dalam guni tanah, 4 'transporter' termasuk suami isteri ditahan

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 2 Julai - Satu sindiket pengedaran dadah tumpas apabila polis berjaya menghidu modus operandi yang menyembunyikan dadah dalam guni berisi tanah dan menghantarnya menggunakan khidmat kurier dalam beberapa serbuan, baru-baru ini. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan sejak 27 Jun hingga semalam, polis menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri berusia 34 hingga 48 tahun yang bertindak sebagai 'transporter'. 

Katanya, turut dirampas adalah pelbagai jenis dadah bernilai RM1.97 juta antaranya syabu, heroin dan ganja dengan berat keseluruhan 88.38 kilogram. 

"Siasatan mendapati terdapat dalam kalangan 'transporter' itu adalah suami isteri dengan seorang daripadanya bekerja sebagai penghantar barang. 

"Mereka menggunakan lori sebagai pengangkutan dalam penghantaran kurier itu dengan membawa tujuh guni plastik berisi tanah yang disembunyikan 56 bungkusan teh cina bertulisan Guanyingwang disyaki berisi syabu seberat 57.6 kilogram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini. 

Hussein berkata, siasatan awal mendapati penghantaran itu adalah kali pertama dilakukan pasangan itu dan mereka dipercayai dibayar sebanyak RM51.

Jelasnya, pasangan berkenaan diarahkan mengambil barangan berisi dadah berkenaan dari Serdang Jaya ke Puchong Jaya menerusi aplikasi kurier.

Polis juga masih menyiasat jika pasangan itu mengetahui mengenai keberadaan dadah dalam guni yang mereka bawa. 

Dalam pada itu, Hussein menjelaskan, bagi dua lagi 'transporter' termasuk seorang tukang masak didapati aktif sejak enam bulan lalu dalam aktiviti berkenaan.

"Tukang masak berusia 34 tahun itu ditahan bersama 26 ketulan mampat dipercayai ganja manakala seorang lagi 'transporter' berusia 48 tahun ditahan bersama 4.4 kilogram dadah dipercayai heroin. 

"Kesemua dadah yang dibawa suspek-suspek itu adalah bagi pasaran di sekitar Lembah Klang,"katanya. 

Beliau menegaskan hasil ujian air kencing mendapati masing-masing dua daripada empat itu didapati positif tetra hydrocannibol (THC) dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. 

"Mereka kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

 

#POLIS #DADAH #SINDIKET 

+ - reset