TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Kes pecah rumah Khuzaimi selesai, polis tahan 2 suspek di Terengganu

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 2 Julai – Polis berjaya menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, pada 23 Mei lalu.

Penahanan dua suspek berusia 28 dan 33 tahun berkenaan di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, Marang, Terengganu pada 26 Jun lalu sekali gus menyelesaikan kes berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya juga mengesahkan kes berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan insiden yang membabitkan beberapa pemain bola sepak lain sebelum ini.

Katanya, tangkapan terhadap dua suspek berkenaan dilakukan sepasukan polis dari Unit Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor; IPK Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Suspek ditangkap selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dijejak pasukan polis.

"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam sembilan kes pecah rumah, melarikan kenderaan dan samun di sekitar Selangor (dua kes); Terengganu (tiga kes); Pahang (dua kes) dan Melaka (dua kes)," katanya di IPK Selangor, hari ini.

Polis turut merampas beberapa barang antaranya sebuah kereta Honda City; motosikal Yamaha Y15ZR; beg pelbagai jenis dan jenama; telefon bimbit serta komputer riba yang mana keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM55,000.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mereka dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

"Polis kini dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Media pada 23 Mei lalu melaporkan kediaman pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Khuzaimi melaporkan kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

+ - reset