TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Pemain badminton remaja China meninggal akibat serangan jantung

By
|
Kongsi
image

YOGYAKARTA, Indonesia: Punca kematian Pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie disahkan akibat serangan jantung ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di sini, kelmarin.

Kejadian mengejutkan itu berlaku ketika pertemuan antara China menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.

Zhi Jie yang berusia 17 tahun sedang berdepan Kazuma Kawano, rebah dalam keadaan tertiarap dalam perlawanan yang berlangsung petang kelmarin. 

Pasukan perubatan kejohanan kemudiannya memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, Zhi Jie disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam kelmarin waktu tempatan.

"Laporan perubatan menunjukkan pemain itu mengalami serangan jantung," kata jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy ketika sidang media di Yogyakarta.

Jurucakap itu turut mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur selepas rakaman video menunjukkan mereka teragak-agak untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di dalam gelanggang.

Katanya, pasukan perubatan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang.

Zhi Jie mula bermain badminton sejak tadika dan menyertai skuad remaja China, tahun lalu.

Awal tahun ini, dia berjaya menjuarai Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda, kejohanan berprestij bagi peringkat remaja.

Persatuan Badminton China (CBA) dalam kenyataan, berkata badan induk itu sangat berdukacita di atas kehilangan pemain berbakat seperti Zhi Jie.

"Zhang Zhi Jie sangat meminati badminton dan adalah pemain terbaik dalam skuad remaja kebangsaan (China)," kata CBA dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan bakat badminton yang semakin meningkat naik, Zhi Jie.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China, dan seluruh komuniti badminton China," katanya dalam satu kenyataan. - AFP

+ - reset