TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Lembab, kerajaan beri muka sangat kepada pelobi vape, rokok’ - KJ

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Julai – Usaha menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di negara ini masih tidak dilaksanakan kerana kerajaan didakwa bertindak lembab dan tunduk kepada pelobi rokok serta rokok elektronik (vape).

Perkara itu disuarakan Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak pasti faktor yang menyebabkan kelewatan penguatkuasaan akta terbabit yang sebelum ini dijanjikan dan sepatutnya berkuat kuasa mulai awal Jun lalu.

Katanya, kelewatan tindakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu menyebabkan vape kini dijual di mana-mana lokasi.

"Saya tak pasti kenapa (belum dikuatkuasakan) tapi memang lembap. Vape dijual dimana-mana.

"Macam (isu) Generasi Penamat Rokok (GEG), kerajaan bagi muka sangat kepada pelobi rokok dan vape," tegasnya memetik Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) yang mempersoalkan kelewatan penguatkuasaan Akta 852 yang masih lagi tertangguh pelaksanaannya.

Presiden MPS, Amrahi Buang, dilaporkan berkata penguatkuasaan akta terbabit sepatutnya bermula awal Jun tetapi sehingga kini masih belum dilaksanakan kerajaan.

Justeru, Amrahi mempersoalkan, apakah halangan sebenar penguatkuasaan akta terbabit, yang didakwa masih 'tersangkut' di pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) KKM.

Dalam pada itu, Khairy berharap, apabila akta akta terbabit dikuatkuasakan kelak, penetapan tindakan lebih tegas dikenakan berkaitan penjualan vape.

"Ini termasuk penjualan di kedai khusus sahaja, selain pembungkusan diletakkan secara tertutup (dalam kabinet) dan menggunakan pembungkusan produk yang tidak menarik (plain packaging)," katanya.

+ - reset