TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Sorok dadah dalam kotak makanan, Kastam rampas 30kg dadah di KLIA2

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 1 Julai – Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan kotak makanan untuk menyembunyikan barangan terlarang itu daripada dihidu pihak berkuasa gagal apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) 30 kilogram (kg) dadah bernilai RM3.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, berkata dalam operasi pertama pada 16 Jun lalu, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan ketika cuba mendaftar masuk sebuah kotak makanan miliknya di kaunter kira-kira jam 7.30 malam.

"Hasil pemeriksaan ke atas kotak makanan itu menemui 15 mampatan kristal putih disyaki dadah jenis ketamin yang diisi di dalam bungkusan teh.

"Bungkusan itu kemudian diletakkan ke dalam kotak makanan berlabelkan jenama mi segera dengan anggaran berat kasar 15.181 kg. Mampatan yang disyaki ketamin itu dianggarkan bernilai RM760,000," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Norlela berkata, modus operandi memasukkan dadah di dalam bungkusan teh serta diletakkan di dalam kotak makanan digunakan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Sindiket juga menggunakan kaedah 'self check in' bagasi untuk mengedar dadah ke lokasi lain," katanya menambah lelaki terbabit dalam perjalanan ke Miri, Sarawak.

Dalam operasi pada 19 Jun pula, Norlela berkata, pihaknya menemukan satu kotak bungkusan kurier yang diikrar di kawasan Zon Bebas Kargo, KLIA Sepang sebagai Njoy Caramel Cubes.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kotak itu, pasukan menjumpai 15 termos berlabel Lavender 1000mL mengandungi pil disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

"Anggaran kasar dadah ialah 14.663 kg. MDMA yang disita dianggarkan bernilai harga pasaran RM2.5 juta," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kotak bungkusan mengandungi dadah itu adalah dari negara Eropah dan dialamatkan ke sebuah syarikat.

"Kita sedang melakukan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kebiasaannya syarikat yang dialamatkan tidak wujud," katanya.

Norlela berkata, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

+ - reset