TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KESUMA bentang penambahbaikan kerangka kerja Suruhanjaya Pekerja Gig bulan ini - Sim

By
|
Kongsi
image

SUNGAI BAKAP 1 Julai - Kertas dasar berhubung penambahbaikan kerangka kerja penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig akan dibentangkan kepada kabinet bulan ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu akan dibuat sekitar satu ke dua minggu lagi.

"Kita akan bentangkan penambahbaikan yang telah dilakukan bagaimana kita boleh beri perlindungan kepada pekerja gig terutama menerusi tiga aspek utama.

"Dari segi pampasan upah yang lebih baik, perlindungan keselamatan sosial dan mekanisme kilanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Meraikan Peluncuran Tajaan kepada E-Hailing dan P-Hailing Zon Utara di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri sekiranya melibatkan sebarang pindaan atau penggubalan undang-undang sedia ada.

"Bulan lepas saya telah bentangkan kajian awal tentang kebolehlaksanaan suruhanjaya tersebut dan mendapat input daripada jemaah menteri.

"Selepas pembentangan bulan lepas kita kembali di pihak Kesuma untuk menambah baik, mengambil kira pandangan daripada input jemaah menteri pada hari itu," katanya.

Jelas beliau, pekerja gig tidak tertakluk kepada Akta Kerja 1955 dan sebarang aduan tidak boleh dibuat kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Dalam perkara ini, harus melihat apa definisi terbaik kepada pekerja gig, sebab sebelum masuk kabinet kita dah buat sesi libat urus dan mereka sebenarnya tidak mahu ditakrifkan sebagai pekerja konvensional, jadi perlu seimbangkan satu pihak dia bukan pekerja konvensional dan satu pihak lagi kebajikan perlu dijaga.

"Apa yang kita lakukan adalah kita letak 'benchmark' negara-negara serantau yang mempunyai undang-undang atau garis panduan serupa dan amalan terbaik di serata dunia," katanya. - Media Telus

#KESUMA #JTK #SURUHANJAYAPEKERJAGIG #STEVENSIM

+ - reset