TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rafizi tak sepatutnya politikkan isu air - Tuan Ibrahim

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Julai - Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu membezakan antara tanggungjawab kerajaan pusat dan tugas operator air di bawah kerajaan negeri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan pusat melalui Akta Industri Perkhidmatan Air (WASIA) 2006 (Akta 655) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) hanya memiliki aset air berkenaan manakala negeri-negeri akan terus menguruskan sumber air itu.

"Selain itu, kerajaan negeri melalui syarikat air negeri akan terus menyediakan perkhidmatan air kepada rakyat.

"Jadi, isu pengagihan dan bekalan air kepada penduduk di Sungai Bakap adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, isu bekalan air di Kelantan yang dibangkitkan Rafizi adalah kerana negeri itu tidak mempunyai empangan untuk tempoh yang lama.

"Kalau dia (Rafizi) nak bangkitkan isu bekalan air di Kelantan ini kerana negara ini sudah lama tidak mempunyai takungan air atau empangan.

"Selepas berdekad-dekad berdepan dengan situasi ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional meluluskan projek Takungan Air Tepi Sungai (TAPS) di Machang bernilai RM1.3 bilion.

"Walaupun selepas peralihan kerajaan persekutuan pada penghujung 2022, saya dimaklumkan bahawa projek ini akan diteruskan," tambahnya.

Tuan Ibrahim berkata, beliau ingin menasihatkan Rafizi yang merupakan Menteri Ekonomi supaya memikirkan cara membantu Perdana Menteri daripada mempolitikkan isu air.

"Beliau sepatutnya membantu Perdana Menteri dalam menyelesaikan krisis ekonomi dan kos sara hidup yang dikeluarkan oleh rakyat Malaysia.

"Beliau perlu menggunakan semua formula yang telah dikemukakannya kepada rakyat sebelum ini.

"Isu air ini sebenarnya tidak perlu dipolitikkan. Apa yang dikatakan oleh Menteri Besar Kedah itu lebih kepada cadangan untuk membantu kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya lagi.

Pada hari Sabtu, Rafizi semasa Ceramah Perpaduan di Nibong Tebal mengkritik Perikatan Nasional kerana menggunakan isu gangguan bekalan air dalam kempen mereka, sambil menunjukkan bahawa Tuan Ibrahim yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri berkaitan air, gagal menangani masalah itu semasa memegang jawatan. - Media Telus

#RAFIZIRAMLI #AIR #KELANTAN #TUANIBRAHIM

+ - reset