TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

200,000 pelajar tahfiz boleh ikuti TVET di bawah GiatMARA - Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Julai – Pelajar tahfiz di seluruh negara berpeluang menjalani latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dibawah kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata usaha itu akan memberi nilai tambah kepada lebih 200,000 pelajar tahfiz untuk mereka memanfaat serta meningkatkan potensi diri dalam masyarakat.

"Harap pengusaha tahfiz terbuka untuk pelajar-pelajar mereka dilatih kemahiran TVET.

"MARA bukan saja bersedia melatih mereka menjadi usahawan, bahkan sedia membiayai mereka untuk buka perniagaan," katanya menerusi entri di Facebook.

Beliau berkata, pengurusan MARA akan terus komited dalam membantu merealisasikan serta mengembangkan lagi model Tahfiz TVET Ulul Albab bagi memastikan pelajar tahfiz mendapat kemahiran TVET, sekali gus mengintegrasikan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Beliau turut berkongsi pengalaman hasil kunjungannya ke Kiswah Motor, Parit Buntar, Perak kelmarin antara model rintis GiatMARA yang melaksanakan Program Tahfiz TVET, dilakukan secara kerjasama dengan Madrasah Darul Uloom Shaikh Zakariyya, Parit Buntar.

"Pelajar-pelajar ini selain mendalami ilmu ukhrawi, mereka dihantar ke GiatMARA bagi mempelajari kemahiran sehingga mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Dua yang membawa kepada pembukaan bengkel motosikal Kiswah Motor di Parit Buntar," katanya.

Menjawab soalan daripada pengikut Facebooknya, Asyraf berkata sebanyak 10,340 Tadika KEMAS di seluruh negara juga akan mula melaksanakan program Pra-Tahfiz.

Dasar TVET Negara 2030 dilancarkan baru-baru ini bertujuan untuk menyelaraskan program TVET dengan dasar dan akta sedia merangkumi Dasar Pendidikan Kebangsaan; Dasar Pendidikan Tinggi Nasional; Akta Pendidikan 1996 (Akta 550); Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652); dan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta MQA 679).

Di bawah MARA, Asyraf berkata, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga mempunyai peluang menyambung pengajian ke luar negara menerusi program TVET.

Katanya, mereka boleh melanjutkan pengajian ke pelbagai negara seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Eropah, Jerman, Russia dan Perancis. - Media Telus

#MARA #TAHFIZ #TVET

+ - reset