TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

Kamal Haasan terharu sambutan hangat rakyat Malaysia, beri yang terbaik dalam filem sekuel Indian 2

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Jun - Sokongan berterusan rakyat Malaysia memberi semangat kepada pelakon lagenda India, Kamal Haasan untuk berkarya dan menghasilkan lebih banyak filem berkualiti untum peminatnya. 

Kamal yang berusia 70 tahun turut terharu apabila mendapat sambutan hangat dari rakyat Malaysia yang sanggup menanti lebih dua jam sebelum ketibaannya di ibu negara semalam untuk mempromosikan filem ‘Indian 2’ sekuel daripada filem blockbusternya pada 1996 ‘Indian’. 

Menurut Kamal, keghairahan peminat memberikannya motivasi untuk berkembang maju dan berjaya.

"Sokongan tidak berbelah bahagi anda menjadi penyebab saya berdiri di hadapan anda hari ini, setiap kali tayangan filem saya, saya berusaha untuk datang dan bertemu anda semua,” katanya ketika promosi filem berkenaan di NU Sentral di sini malam tadi.

Menyentuh mengenai filem yang dikeluarkan dalam bahasa Tamil, Telugu dan Hindi itu, beliau berkata, Indian 2’ adalah hasil kerja keras dan dedikasi ramai individu berbakat.

Pemenang tiga kali anugerah filem kebangsaan India itu juga melahirkan rasa terima kasih kepada pengarah filem, Shankar serta penerbit, Lyca Productions dan pengedar, Red Giant Movies atas sumbangan tidak ternilai mereka kepada projek berkenaan.

Aktor itu turut mendedahkan sebab utama beliau bersetuju membintangi filem ‘Indian 2’ adalah kerana rancangan penerbitan sekuel filem itu iaitu ‘Indian 3’.

"Kami merancang untuk melancarkannya (Indian 3) sejurus selepas keluaran ‘Indian 2’ ini," katanya.

Filem ‘Indian’ yang dikeluarkan pada 1996 menampilkan Kamal sebagai pejuang kemerdekaan memberontak menentang rasuah di India sekali gus mewujudkan konflik dengan anaknya yang terlibat dalam amalan rasuah.

Filem itu menjadi filem Tamil yang menerima kutipan tertinggi selepas ditayangkan serta merupakan penyertaan India untuk Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi pada 1996 walaupun ia tidak menerima pencalonan.

Mengenai kerjaya politiknya, Kamal berkata, beliau pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan industri perfileman.

"Apabila memasuki bidang politik, saya mempertimbangkan untuk meninggalkan kerjaya seni untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi menyedari sokongan berterusan anda semua, saya memutuskan untuk meneruskan kedua-duanya, sekali gus mendorong saya kembali berlakon,” katanya.

Pelakon itu memasuki arena politik pada 2018 dengan mengasaskan parti Makkal Needhi Maiam. 

Kamal turut tidak melepaskan peluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam acara tertutup semalam selepas selesai mempromosikan filem terbarunya itu. - Media Telus

 

#KAMALHASAAN #INDIAN2 #FILEM 

+ - reset