TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

'Saya sudah pencen' - Tok Pa tetap tidak akan bertanding PRU, PRK

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Jun - Datuk Seri Mustapa Mohamed tetap dengan pendiriannya untuk berhenti daripada bidang politik dan tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) memaklumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam parti BERSATU pada 30 September 2023.

"Saya mengulangi sekali lagi kenyataan yang dikeluarkan pada 2 November 2022 bahawa saya sudah 'pencen' daripada politik apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya menerusi satu kenyataan media, di sini hari ini.

Ia dikatakan merujuk kepada kenyataan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor yang dilaporkan oleh sebuah portal mengenai calon pilihan raya di dua kawasan di Kelantan iaitu Parlimen Jeli dan Parlimen Gua Musang.

Kamaruddin dilaporkan berkata, BERSATU Kelantan sedia memberi laluan kepada ahli politik berpengaruh, termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Mustapa bertanding di Parlimen Gua Musang serta Jeli, jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan kelak.

Bagaimanapun katanya, langkah menghantar dua ahli politik itu ke Dewan Rakyat bagaimanapun perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan BERSATU dan PN terlebih dahulu.

Untuk rekod, Mustapa memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas selama tiga penggal sejak PRU11.

Pada PRU15 lalu, Mustapa mengumumkan menarik diri daripada mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak 1995 atas faktor kesihatan dan nasihat doktor.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Pa juga menyandang kerusi Parlimen Jeli sejak 1995. Beliau bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Mohd Apandi Mohamad, pada PRU10 pada 1999 sebelum kembali memenanginya pada PRU11 (2004).

Tok Pa juga sebelum ini memenangi Parlimen Jeli pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum beliau menyertai BERSATU, komponen dalam Perikatan Nasional (PN). - Media Telus

 

#TOKPA #POLITIK #PENCEN

+ - reset