TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Seorang pengsan, 16 pedih mata, pening bahan kimia tumpah di kilang di Sungai Petani

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI 28 Jun - Seorang pekerja kilang pengsan sementara 16 lagi mengalami pedih mata dan pening kepala selepas tumpahan bahan kimia (sodium hypochlorite) berlaku di sebuah kilang perindustrian di Bakar Arang, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu di kilang pembuatan sarung tangan getah itu pada jam 3.04 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Yazid Ismail bersama 16 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Sebaik tiba di situ, didapati terdapat 17 mangsa dilaporkan terkesan akibat kejadian itu yang mana seorang dilaporkan pengsan dan 16 lagi mengalami pedih mata dan pening kepala.

"Jumlah itu membabitkan 15 wanita dan dua lelaki dipercayai pekerja kilang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap itu berkata, mangsa yang pengsan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini manakala tiga mangsa yang mengalami pedih mata dihantar ke klinik berhampiran oleh pihak kilang.

Katanya, enam lagi mangsa dihantar oleh jentera EMRS Bomba ke hospital selepas mengadu pening kepala dan pedih mata.

"Pasukan Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Kulim Hi- Tech kemudian dimaklumkan berhubung kejadian itu.

"Tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite itu dianggarkan berlaku sebanyak 60 liter dan tindakan nyah cemar dilakukan di lokasi menggunakan air," katanya.

Jurucakap itu berkata, penggunaan kertas litmus digunakan untuk mengesan bacaan asid dan didapati dalam keadaan normal.

Katanya, tujuh lagi mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 5.23 petang bagi pemeriksaan susulan berikutan pedih mata dan pening kepala.

"Operasi terkawal pada jam 4 petang dan kerja-kerja overhaul dilakukan bagi memastikan tiada lagi unsur keberbahayaan di lokasi.

"Operasi tamat pada jam 5.48 petang," katanya.

+ - reset