TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Syed Saddiq mula misi 'Larian Muar', berjaya kutip RM10,000 pada 20km pertama

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Jun –Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengutip sebanyak RM10,000 hasil sumbangan orang ramai selepas memulakan misi ‘Larian Muar’ awal pagi tadi.

Sumbangan itu diperoleh pada 20 kilometer (km) pertama larian yang mana masih berbaki 180km lagi.

Syed Saddiq kini dalam misi berlari sejauh 200 km bermula dari Muar bagi menuntut kerajaan memberikan peruntukan kepada kawasan Parlimen pembangkang berasa terharu dengan sambutan orang ramai.

Larian itu juga bagi mengutip dana RM100,000 dana bagi Pusat Khidmat Muar diperlukan demi ia dapat kekal beroperasi sekaligus membantu rakyat yang memerlukan.

“20 kilometer done (selesai). 180 km more to go to Parliament. Bermula di Jambatan Muar, kini di Merlimau Melaka. Terharu ramai yang datang berhenti berikan sokongan.

“Ahamdulillah dah cecah RM10,000! Ramai yang bertanya macam mana nak menyumbang,” katanya melalui ciapan di Twitter pada pukul 9.49 pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Muar itu berkata, larian yang dinamakannya sebagai ‘Langkah Muar’ sebagai salah satu cara untuk menghantar mesej kepada kerajaan untuk menepati janji mereka sebelum ini.

Syed Saddiq juga akan menyerahkan memorandum setelah selesai larian marathon itu untuk disampaikan kepada wakil kerajaan dan ahli Parlimen lain.

Jelasnya, memorandum tersebut merupakan cadangan untuk memastikan Akta Parlimen yang diinstitusikan dilakanakan secara adil.

“Kawasan kerajaan mereka (ahli Parlimen) diberikan RM4 juta setahun dan RM20 juta sepenggal perbezaan itu sangat ketara sekali. Walaupun untuk capai RM20 juta itu mustahil tapi sedikit sebanyak dapat menampung agar kami dapat terus membuka pusat khidmat Muar, membayar gaji staff, beri bantuan terus dapat disampaikan kepada orang susah daripada menunggu janji manis kerajaan lebih baik kami bertindak sendiri.

“Kami berharap akhirnya kami dapat meraih dana dan menghantar isyarat protes jelas mewakili rakyat Muar dan Malaysia supaya kita dapat pinda akta baru semua kawasan Parlimen dapat peruntukan yang adil,” ujarnya.

Sebelum itu Syed Saddiq memaklumkan di kumpulan WhatsApp nya, beliau akan memulakan larian sejauh 200km hari ini bermula Jambatan Sultan Ibrahim Muar ke Telok Mas sejauh 39 kilometer (km).

Beliau akan menyambung larian pada pukul 5 petang dari Telok Mas ke Alor Gajah, Melaka sejauh 34 km.

Syed Saddiq akan menyambung larian esok dari Alor Gajah ke Rembau, Negeri Sembilan kira-kira 30 km bermula pada pukul 6.30 pagi dan menyambung larian ke Seremban, Negeri Sembilan sejauh 23.5 km pada pukul 5 petang.

Larian kemudian disambung pada Ahad dari Seremban ke Semenyih, Selangor sejauh 39 kilometer bermula 6.30 pagi dan menyabung larian ke Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur sejauh 20 kilometer pada pukul 5 petang.

Ahli Parlimen Muar itu meneruskan larian sejauh 20 kilometer pada Isnin pukul 6.30 pagi dan dijadual sampai pukul 9 pagi dan kemudian akan melakukan sidang media.

+ - reset