TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelabur yakin tenaga kerja tempatan mencukupi - Steven Sim

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pemilihan pelabur untuk masuk ke dalam negara membuktikan kepercayaan mereka bahawa Malaysia mempunyai bekalan tenaga kerja yang mencukupi.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi apatah lagi latihan sedang dilakukan secara besar-besaran.

"Bila pelabur masuk ke Malaysia, ini menunjukkan mereka mempunyai keyakinan ke atas bakat sumber manusia dalam negara.

"Malah, saya sempat berbincang dengan seorang duta luar negara yang mengatakan bahawa syarikat negaranya melabur ke dalam negara disebabkan keyakinan pada bakat sumber manusia di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ministers Pioneering Excellence: Creating A Talent-Driven Economy Government Policies and Practices' Programme, yang dianjurkan HRD Corp bersempena National Training Week (NTW) 2024.

Forum itu buat pertama kalinya mengumpulkan empat Menteri selain Steven Sim iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri

Dalam pada itu, katanya, setakat 27 Jun, lebih 65,000 kursus latihan percuma telah disediakan dan itu melebihi sasaran iaitu sebanyak 25,000.

Selain itu katanya, jumlah mereka yang menyertai latihan juga telah mencecah 330,000 orang, jauh lebih tinggi berbanding sasaran asal sebanyak 200,000 orang.

"Ini membuktikan rakyat Malaysia dahagakan latihan kemahiran dan latihan yang kita sediakan mempunyai daya tarikan," katanya. - Media Telus

#STEVENSIM #PELABURAN #TENAGAKERJA

+ - reset