TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

NTW 2024 tingkat kualiti hidup OKU, tawar latihan komprehensif

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Jun - "Saya mahu keluarga hidup dengan tenang apabila saya mampu bekerja tanpa masalah biarpun keupayaan saya agak terhad berbanding orang normal,". 

Itu kata Muhammad Daniel Mohd Idham, 23, seorang OKU Neurodiversiti yang berusaha ingin mengubah nasib diri dengan menyertai latihan kemahiran percuma dibawah inisiatif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), di sini, hari ini. 

Menurut Muhammad Daniel yang bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah restoran makanan segera, dia mengetahui mengenai latihan yang dianjurkan itu melalui ibunya. 

"Ibu beritahu mahu saya sertai seminar untuk menggilap skil dan kemahiran saya supaya dapat meningkatkan lagi taraf hidup saya. 

"Pada awalnya saya agak keliru apakah latihan yang ditawarkan ini, tetapi selepas diterangkan saya bersetuju untuk mengikutinya demi masa depan yang lebih cerah," katanya selepas Program Impak Inklusi Neurodiversiti sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW2024), di Bangunan Mitec, hari ini.  

Menurut Muhammad Daniel lagi, ini kali pertama dia menyertai program sedemikian dan tidak menyangka terdapat syarikat gergasi yang sanggup mengambil OKU sepertinya bekerja. 

"Saya fikir saya cuma layak kerja di kampung, tapi apabila berada di sini, saya jumpa dengan ramai yang senasib dan mereka semua mahu mengubah masa depan atas bantuan latihan yang diberikan. 

"Ini adalah peluang keemasan yang patut diambil oleh ramai lagi orang bukan saja OKU tetapi mereka yang mungkin tidak tahu mereka boleh melakukan sesuatu yang lain," katanya. 

Bagi Anniecia, 26, pula, bergelar OKU bukan penghalang untuk berikan yang terbaik dalam hidupnya melalui kelebihan yang dimiliki. 

"Saya sertai Program Impak Inklusi Neurodiversiti ini supaya dapat mengembangkan lagi hubungan dengan lebih ramai pemain industri yang mungkin agak sukar untuk saya jumpa di luar. 

"Dalam program ini juga saya dapat belajar tentang diri saya yang mungkin saya tidak tahu kerana sibuk dengan kehidupan seharian. 

"Sudah pasti saya akan sertai lagi program sebegini jika dianjurkan pada masa akan datang yang saya percaya intipati program akan ditambah baik dengan pelbagai aktiviti," katanya. 

 Muhammad Daniel dan Anniecia antara 100 peserta Program Neurodiversiti Inklusi yang berpeluang meningkatkan pemahaman mengenai kekuatan dan kemahiran mereka, serta menambah pengetahuan penting untuk berjaya dalam pekerjaan dan memupuk komuniti yang menyokong. - Media Telus 

#HRDCORP #oku #LATIHAN 

+ - reset