TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KESUMA sumbang dana RM2 juta perkasa OKU Neurodiversiti

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperuntukkan dana sebanyak RM2 juta bagi Program Peningkatan Bakat OKU (OTEP) dibawah inisiatif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bagi tahun ini. 

Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong berkata, dana awal itu diperuntukkan bagi program pemerkasaan golongan OKU membabitkan sektor pekerjaan sekali gus memberi pendedahan sama rata dan kemahiran yang diperlukan kepada rakyat Malaysia. 

"Setiap rakyat Malaysia berhak untuk mencapai cita-cita mereka tanpa mengira latar belakang fizikal, sosial, bangsa dan agama. 

"Kerajaan komited mempertahankan prinsip ini, dan KESUMA akan memastikan semua rakyat diberi latihan kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi cabaran dalam kehidupan profesional dan peribadi mereka. 

"Ini termasuk mengamalkan keterangkuman melalui program yang memenuhi keperluan individu neurodiversiti," katanya pada Program Impak Inklusi Neurodiversiti sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW2024), di sini, hari ini. 

Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. 

Turut hadir Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Pegawai Eksekutif HRC Corp, Datuk Shahul Dawood. 

Steven Sim turut melahirkan rasa bangganya terhadap HRD Corp kerana komited menjalankan OTEP bermula tahun lalu yang berjaya mencungkil 30 bakat neurodiversiti melalui latihan komprehensif. 

Melalui latihan yang dijalankan itu, 15 peserta berjaya mendapat pekerjaan daripada syarikat gergasi besar termasuk RHB Bank, Kumpulan Aeon Malaysia dan Perkeso. 

Komitmen HRD Corp itu menandakan satu langkah penting ke arah memastikan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula disesuaikan dengan keperluan individu neurodiversiti. 

Melalui inisiatif memperkasakan golongan OKU neurodiversiti, HRD Corp turut mencari lebih banyak penyedia latihan untuk membantu komuniti neurodiversiti dalam memperoleh set kemahiran standard industri untuk mengintegrasikan golongan itu ke dalam masyarakat. Media Telus

#HRDCorp ##KESUMA #Stevensim

+ - reset