TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Selangor FC ada 4 hari lagi kemuka rayuan - MFL

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jun - Pasukan Selangor FC mempunyai masa empat hari lagi sehingga hujung minggu ini untuk mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dijatuhkan hukuman kerana tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam, berkata skuad Gergasi Merah mempunyai tempoh sehingga hujung minggu ini untuk menghantar surat rayuan rasmi kepada badan pengelola liga bola sepak tempatan tersebut.

Beliau berkata, daripada empat hukuman yang dikenakan juga mungkin akan dikurangkan berdasarkan pertimbangan badan rayuan MFL.

“Badan rayuan akan meneliti semua dokumen berkaitan dan bersidang selama dua hingga tiga minggu sekiranya Selangor memutuskan untuk mengeluarkan surat rayuan,” katanya lapor BERNAMA majlis pecah tanah Pusat Latihan Kebangsaan (NCT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Semalam, MFL dalam kenyataan memaklumkan Selangor FC dihukum antara lain didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025.

Mereka juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak serta perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.

Bagaimanapun, Selangor dalam kenyataan malam tadi, sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya.

Selangor menjelaskan mereka memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei yang lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak.

Keputusan itu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata akan jatuh ke posisi kelima.

Sekiranya naib juara Liga Super 2023 itu mahu mencari alternatif lain termasuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Sivik dan Mahkamah Timbang Tara Sukan, Stuart berkata mereka perlu menjalani proses perundangan termasuk rayuan kepada MFL terlebih dahulu sebelum membuat tindakan sedemikian.

Ditanya mengenai tindakan MFL mengenakan hukuman bermain tanpa penonton, Stuart berkata tindakan tersebut diputuskan pihaknya memandangkan JDT tidak memperoleh hasil komersial pada perlawanan Sumbangsih tersebut.

“Bagi mereka (Ahli Lembaga Pengarah MFL), perlawanan timbal balik tidak sepatutnya mempunyai apa-apa keuntungan untuk pasukan yang bertanding dan ia juga adalah berkaitan komersial. Satu pasukan tidak memperoleh keuntungan daripada tidak menghadiri satu perlawanan tetapi mendapat keuntungan dari perlawanan timbal balik, itu adalah pandangan ahli lembaga,” katanya.

#MFL #SELANGORFC #HUKUMAN #BOLASEPAK

+ - reset