TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPDN tarik lesen operasi jika pengusaha stesen minyak enggan pasang CCTV

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jun – Stesen minyak yang enggan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka akan ditarik lesen operasi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata pemasangan CCTV di stesen minyak di sempadan akan dilaksanakan tahun ini bagi menangani isu penyeludupan petrol dan diesel.

Beliau mengakui ada pengusaha stesen minyak membantah langkah pemasangan CCTV di premis dengan alasan tiada privasi dan faktor keselamatan.

"Kita tidak mengambil kira alasan berkenaan, apa yang pasti kita mahu memastikan aktiviti penyeludupan petrol dan diesel dapat ditangani.

"Pihak kementerian meminta saya membuat pemilihan stesen untuk pemasangan CCTV itu, membabitkan stesen minyak di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga.

"Kita akan menarik lesen perniagaan pengusaha yang enggan membenarkan pemasangan CCTV dibuat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menerusi pemasangan CCTV berkenaan, pihaknya akan memantau terus dari pejabat dan boleh melihat aktiviti di stesen minyak berkenaan.

Azman yakin pemasangan CCTV mampu mengurangkan aktiviti penyeludupan dengan ketara.

Semalam, media melaporkan pam diesel di beberapa stesen minyak sekitar kawasan sempadan di sini, didapati lengang tetapi pam petrol sesak sehingga pelanggan perlu menunggu giliran membuat pengisian.

Berdasarkan hasil tinjauan antara jam 7 hingga 9 pagi tadi, pembelian berulang untuk pengisian RON95 dilihat masih berlaku walaupun kerajaan mengumumkan ia dilarang di semua stesen minyak di Kelantan bagi mengelak petrol bersubsidi diseleweng ke negara jiran.

+ - reset