TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sultan Selangor zahir rasa kecewa terhadap MFL, Presiden FAM

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 26 Jun - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan dukacita dengan keputusan ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin.

Dalam kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda menzahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan Datuk Hamidin yang langsung tidak bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013.

Malah, titah baginda, Hamidin berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta.

"Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

"Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim.

"Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama. Disebabkan itu, Beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

"Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan," menurut kenyataan itu.

Baginda juga berpandangan bahawa denda RM100,000, bayaran pampasan kerugian, pemotongan tiga mata serta mengadakan perlawanan tanpa penonton adalah tidak masuk akal.

"Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga Beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.

"Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain," titah baginda.

Baginda turut memberi peringatan bahawa apa yang berlaku ini bukan sahaja  akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC.

"Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu," menurut kenyataan itu. - Media Telus

#SELANGORFC #BOLASEPAK #FAM #MFL #DENDA #SULTANSELANGOR
 

+ - reset