TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hakim pernah jadi peguam di firma wakili 1MDB, Rosmah mahu hakim lain dengar kes

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jun - Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan permohonan supaya kes saman difailkan terhadapnya oleh syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didengar hakim lain.

Pada 9 Mei lalu, 1MDB dan lima anak syarikat serta empat yang lain, memfailkan saman terhadap Rosmah berhubung ribuan barangan mewah bernilai AS$346 juta didakwa dibeli menggunakan dana syarikat itu yang diselewengkan.

Rosmah membuat permohonan supaya hakim yang mendengar kes itu kini menarik diri atas alasan hakim berkenaan pernah beramal sebagai peguam di sebuah firma guaman, di mana firma terbabit pernah mewakili 1MDB, sehubungan itu terdapat bahaya berat sebelah jika terus mendengar saman berkenaan.

Dalam laporan Berita Harian, melalui permohonan difailkan semalam, Rosmah memohon perintah supaya Hakim Adlin Abdul Majid menarik diri daripada mendengar apa-apa prosiding lanjut dalam tuntutan saman berkenaan dan ia didengar hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Rosmah memberikan alasan, bahawa Adlin pernah beramal sebagai seorang peguam bela dan peguam cara di firma guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill, di mana beliau dilantik sebagai rakan kongsi dari bulan Mac 2011 sehingga Mac 2021.

Adlin seterusnya dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 April 2021.

Menurut Rosmah dalam permohonan itu, Tetuan Lee Hishamuddin seawal tahun 2018 dilantik mewakili 1MDB untuk mendapatkan kembali aset syarikat itu. Malah media melaporkan bahawa ia sebelum ini menerima arahan untuk bertindak bagi syarikat berkenaan dalam prosiding berkaitan.

Rosmah berkata, oleh kerana Adlin rakan kongsi di firma guaman terbabit pada masa material, maka 1MDB adalah bekas anak guam kepada firma yang mana hakim itu beramal.

Katanya, Peraturan 6 Kod Etika Hakim 2009 dengan jelas menyatakan bahawa 'Seorang hakim hendaklah bertindak pada setiap masa dengan cara yang menggalakkan integriti dan kesaksamaan badan kehakiman'.

Saya menyatakan bahawa kandungan peraturan tersebut akan terjejas sekiranya Puan Hakim Adlin terus mendengar perkara ini.

"Saya juga dinasihatkan oleh peguam dan menyatakan bahawa terdapat bahaya berat sebelah sekiranya beliau menilai perkara ini kerana plaintif (1MDB) adalah anak guam firma yang mana Puan Adlin pernah beramal.

"Oleh itu Puan Adlin yang bijaksana seharusnya menarik dirinya daripada mendengar perbicaraan kes ini dan ia dipindah dan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang lain," katanya.

 

Kesemua plaintif dalam saman terbabit ialah 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd.

Plaintif lain adalah syarikat pesisir luar iaitu Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Saman itu menamakan Rosmah sebagai defendan pertama manakala Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan kedua.

Plaintif mendakwa bahawa barangan mewah berkenaan, iaitu antara lain ribuan item jenama barang kemas, jam tangan dan beg tangan, telah dibeli oleh atau untuk Rosmah, bukan dengan wang sendiri tetapi dengan dana yang diselewengkan daripada anak syarikat 1MDB.

Menurut plaintif, dana itu disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone dan Brightstone sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza daripada 14 bidang kuasa bagi pembelian barangan mewah berkenaan iaitu sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489.

Blackrock dan Blackstone adalah syarikat dikaitkan dengan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan.

Sehubungan itu, mereka menuntut perisytiharan bahawa 1MDB dan lima anak syarikatnya (plaintif pertama hingga keenam) mempunyai kepentingan proprietari berekuiti atau kepentingan benefisial terhadap terhadap barangan mewah berkenaan yang dapat dikesan dalam pemilikan Rosmah.

 

+ - reset