TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak salah guna dana, jentera kerajaan ketika pilihan raya, Bersih selar kenyataan Ahmad Maslan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jun - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempertikai kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata tidak menjadi kesalahan untuk mengumumkan peruntukan atau menganjurkan program semasa pilihan raya kecil.

Bersih dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Ahmad Maslan itu hanya akan mengekalkan amalan tidak beretika itu.

Jelasnya, menyalahgunakan dana dan jentera kerajaan bertentangan dengan prinsip proses pilihan raya yang bersih dan adil.

"Ia juga bertentangan dengan saranan Perdana Menteri supaya Kabinet mematuhi undang-undang sepanjang tempoh pilihan raya kecil Sungai Bakap," katanya.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata pada ceramah pada 24 Jun lalu bahawa mengumumkan peruntukan atau penganjuran program bukanlah satu kesalahan.

Beliau berkata, walaupun perkara seperti itu telah dibawa ke mahkamah, keputusan itu tidak pernah menyebelahi parti pembangkang yang membangkitkannya.

"Mahkamah memutuskan bahawa mereka (menteri) berada di sana berdasarkan jawatan kepimpinan kerajaan mereka untuk bertemu rakyat dan kebetulan ada pilihan raya kecil. Jadi ia bukan satu kesalahan," katanya.

Bersih bagaimanapun berkata, mahkamah pilihan raya di Terengganu tahun lepas telah membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum ke-15 selepas mendapati beliau telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

Mereka juga menggesa parti-parti dalam kerajaan perpaduan, terutamanya daripada Pakatan Harapan yang dikatakan telah memperjuangkan pembaharuan selama lebih dua dekad, untuk menunaikan janji mereka.

"Adalah penting bagi kerajaan untuk membuat rancangan untuk memperbaharui proses pilihan raya dengan segera," katanya. - Media Telus

#AHMADMASLAN #BERSIH #PILIHANRAYA #SUNGAIBAKAP

+ - reset