TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Selepas diesel, kerajaan kini teliti keperluan rasionalisasi subsidi petrol RON95

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jun – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95.

Bagaimanapun, pelaksanaan subsidi diesel yang dilaksanakan bermula 10 Jun lalu akan diberi tumpuan sehingga penyasaran subsidi itu menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan.

Katanya, dalam masa yang sama, penelitian itu untuk memperkukuh kemampanan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel.

"Jika rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan golongan yang terkesan akan diberikan bantuan yang sewajarnya," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai bila subsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya seperti kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 November 2022 dan adakah subsidi bersasar bagi petrol akan dilaksanakan tahun ini, selain jaminan kerajaan yang harga barang tidak akan terus meningkat selepas subsidi bersasar dilaksanakan.

Rafizi menjelaskan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi juga akan membantu kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal dan mengoptimumkan sumber yang ada.

"Penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program dan projek yang lebih memberi manfaat serta benar-benar diperlukan rakyat, seperti penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial dan kemudahan awam, termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan," katanya.

Dalam jawapan bertulis kepada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Payar Besar), beliau berkata, penyelarasan semula subsidi bahan api dijangka memberi kesan kepada kadar inflasi negara.

Namun, katanya, strategi yang sudah dirangka dengan baik bersama-sama dengan bantuan tunai bersasar akan membantu mengurangkan kesan itu.

Sebagai contoh, kerajaan masih memberikan subsidi dan mengekalkan harga diesel pada kadar RM2.15 seliter kepada 23 jenis kenderaan logistik melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

 

Selain itu, pengekalan harga diesel RM1.88 bagi pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba, manakala kadar RM1.65 kekal kepada nelayan dan kerajaan turut menyediakan bantuan subsidi tunai BUDI MADANI.

"Bank Negara Malaysia (BNM) melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 menjangkakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi akan memberi implikasi jangka pendek kepada kadar inflasi negara.

"Kadar inflasi bagi 2024 diunjurkan antara dua hingga 3.5 peratus. Keadaan ini sebahagiannya disebabkan peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar, terutama membabitkan subsidi bahan api," katanya.

Rafizi memaklumkan, kedudukan fiskal kerajaan semakin mencabar dan memerlukan komitmen untuk menyasarkan semula subsidi yang menjadi antara komponen utama dalam belanjawan mengurus.

"Kesejahteraan rakyat secara keseluruhan masih menjadi keutamaan. Justeru, kerajaan perlu memilih kaedah penyasaran semula subsidi yang dapat mengimbangi matlamat kerajaan untuk menambah baik kedudukan fiskal dan pada masa sama, mengurangkan impak ke atas kos sara hidup yang ditanggung rakyat," katanya.

Mengenai langkah mitigasi, Rafizi berkata, berdasarkan unjuran yang dilakukan beberapa organisasi antarabangsa seperti S&P Global, EIU dan Bloomberg, purata harga global bagi minyak Brent diunjur pada AS$85 setong bagi 2024.

"Bagaimanapun, jika harga minyak naik secara mendadak, kerajaan melalui Kementerian Kewangan, BNM dan Kementerian Ekonomi akan membuat penelitian semula mengikut keperluan semasa.

"Ini bagi memastikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah tidak terbeban dengan sebarang perubahan harga," katanya.

#DEWANRAKYAT #RAFIZI #PETROL

+ - reset