TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sindiket eksploitasi kanak-kanak jadi pengemis di KL ditumpaskan imigresen

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jun - Sindiket yang memberi ubat batuk kepada kanak-kanak dipercayai bagi tujuan mengemis ditangkap dalam serbuan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Sultan Azlan Shah pada malam tadi.

Difahamkan, sindiket itu memberi ubat batuk itu kepada kanak-kanak seawal usia 10 tahun bagi menimbulkan rasa mengantuk kepada mereka sebelum dibawa orang dewasa untuk mengemis di Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India dan Jalan Sentul.

Taktik itu dilakukan dengan tujuan untuk meraih simpati orang ramai untuk menghulurkan wang.

Menerusi serbuan itu, beberapa botol ubat batuk juga ditemukan di kediaman yang disewa oleh warga asing itu.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan yang berakhir sekitar tengah malam itu adalah hasil kerja risikan selama enam bulan yang dilakukan pasukannya di lokasi.

Beliau berkata 79 warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia antara 10 bulan dan 59 tahun ditahan.

"Seramai 77 warga Pakistan ditahan membabitkan 44 lelaki, 22 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, bersama seorang wanita warga Indonesia, seorang wanita India dan seorang lelaki tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua tahanan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966. - Media Telus

#IMIGRESEN #KUALALUMPUR #MINTASEDEKAH #KANAKKANAK

+ - reset