TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Santai

Haram pasangan berkahwin pilih gaya hidup 'Childfree'

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 25 Jun - Pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak memiliki anak 'Childfree' termasuk menggunakan apa sahaja cara termasuk pemandulan kekal atau sengaja menggugurkan anak adalah satu perbuatan haram.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, perkahwinan dan memiliki anak adalah suatu fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat.

Malah, Islam juga tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak.

 

Namun, terdapat tiga situasi yang mana hukum tidak memiliki anak itu boleh jatuh di bawah hukum harus, makruh dan haram.

"Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak.

"Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah makruh.

"Malahan, bagi golongan yang mengambil keputusan tersebut kerana terpengaruh dengan kefahaman childfree, sehingga menjadikannya sebagai gaya hidup terbaik yang bebas daripada sebarang tanggungjawab dan juga sebagai prinsip hidup yang menafikan fitrah manusia, maka ia merupakan satu fahaman dan budaya yang bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan bahkan tidak bertepatan dengan Sunnah Rasulullah SAW untuk meramaikan umat Islam yang berkualiti," katanya.

Menurutnya lagi, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram.

"Dinasihatkan agar pasangan yang ingin berkahwin atau pasangan yang berhasrat untuk membuat perancangan keluarga bahawa kewujudan anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya.

"Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya," katanya. 

Terdahulu, tular di media sosial gaya hidup 'childfree' yang menjadi perhatian dalam kalangan orang muda sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat. - Media Telus

#CHILDFREE #GAYAHIDUP #SANTAI #MUFTIWILAYAH

+ - reset