TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Cuaca panas melampau, angka kematian jemaah haji musim ini cecah 1,300 orang

By
|
Kongsi
image

MEKAH 24 Jun – Seramai lebih 1,300 jemaah haji meninggal dunia semasa mengerjakan ibadah itu pada tahun ini menurut pemerintah Arab Saudi, semalam.

Kebanyakan kes kematian berkenaan diakibatkan oleh suhu panas melampau dan perjalanan 'tidak dibenarkan' menyumbang lebih empat daripada lima kematian.

“Sistem kesihatan menangani banyak kes suhu panas melampau tahun ini, dengan beberapa individu masih dalam penjagaan. Malangnya, jumlah kematian mencecah 1,301,” kata kerajaan Saudi dalam satu kenyataan ketika mengeluarkan angka rasmi pertamanya.

Kenyataan itu berkata, 83 peratus daripada mereka yang meninggal dunia 'tidak dibenarkan menunaikan haji' dan 'berjalan jauh di bawah cahaya matahari langsung, tanpa tempat tinggal atau keselesaan yang mencukupi'.

"Terdapat beberapa orang tua dan pesakit kronik dalam kalangan mangsa yang meninggal dunia,” jelas kenyataan itu sambil memaklumkan keluarga kesemua yang meninggal dunia telah dikenal pasti.

Cuaca panas melampau disebut sebagai faktor utama di sebalik ratusan kematian dan kecederaan yang dilaporkan tahun ini semasa menunaikan haji.

Mekah, kota suci yang menjadi pusat bagi jemaah haji, menyaksikan suhu meningkat kepada 51.8 darjah selsius yang mencatat rekod pada Isnin 17 Jun.

Pelbagai pihak berkuasa juga berkata masalah itu ditambah lagi dengan jumlah ziarah tidak rasmi.

Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah haji memperoleh permit khas untuk mengakses Mekah secara sah dengan kos beberapa ribu dolar AS.

Jemaah haji yang tidak berlesen biasanya tidak melakukan perjalanan dalam bas pelancongan yang teratur dengan penghawa dingin atau akses mudah kepada bekalan air dan makanan.

 

Kerajaan Saudi turut menyenaraikan kemasukan secara tidak sah jemaah menjadi faktor kenapa masa terlalu lama diambil untuk mengeluarkan angka kematian rasmi kerana ini telah merumitkan proses pengecaman.

“Proses mengenal pasti mangsa selesai walaupun awal kekurangan maklumat peribadi atau dokumen pengenalan. Proses yang betul diikuti untuk pengecaman, pengebumian dan penghormatan ke atas si mati dengan sijil kematian disediakan,” kata kenyataan itu lagi.

Sejumlah jemaah haji merungut mengenai infrastruktur dan penganjuran haji tahun ini yang didakwa mereka lemah.

Malah sebilangan jemaah haji pula menghabiskan sebahagian besar hari mereka berjalan di luar dalam cuaca panas yang terik.

Beberapa saksi memberitahu CNN bagaimana mereka melihat jemaah tidak sedarkan diri dan berjalan melepasi mayat yang ditutupi kain putih. - CNN

+ - reset