TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

KWSP rekod pendapatan boleh agih RM19.2 bilion pada suku pertama tahun ini

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 12 Jun – Jumlah pendapatan boleh agih melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan sebanyak RM19.2 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024, melonjak 33.1 peratus berbanding RM14.42 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Sebanyak RM16.56 bilion daripada RM19.2 bilion pendapatan boleh agih itu dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM2.64 bilion untuk Simpanan Shariah.

Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan 'mark-to-market' (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata prestasi pasaran global pada suku pertama 2024 disokong pertumbuhan global yang berdaya tahan, terutamanya bagi ekonomi maju.

Beliau berkata, indeks FBM KLCI meningkat 10 peratus setakat tahun ini, mencerminkan peningkatan keyakinan dalam pertumbuhan dan kesan pelbagai dasar baharu terhadap ekonomi dan industri.

Di peringkat antarabangsa, katanya, ekonomi Amerika Syarikat (AS) terus berkembang, seterusnya menurunkan jangkaan pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada tahun ini, selain indeks saham utama yang mempamerkan peningkatan kukuh pada suku pertama, didorong oleh lonjakan saham berkaitan kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.

"Walaupun prestasi suku pertama kukuh, pasaran kewangan terus berdepan beberapa risiko yang meluas, iaitu kadar faedah 'tinggi untuk tempoh lebih lama', risiko geopolitik dan konflik, serta perubahan dasar berikutan pilihan raya yang dilaksanakan oleh beberapa ekonomi besar tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada suku yang dikaji, pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM13.15 bilion, berbanding RM8.69 bilion yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

Kelas aset itu kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 68 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih.

Peningkatan pendapatan itu disumbangkan oleh strategi proaktif pengurus dana untuk mengambil peluang kenaikan pasaran dalam merealisasikan keuntungan modal sebelum berlakunya persekitaran tidak menentu yang dijangkakan pada suku akan datang.

Menurut KWSP, instrumen pendapatan tetap terus menjadi tunjang kepada pengurus dana persaraan itu, memberikan aliran pendapatan yang stabil dan mengurangkan impak daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek.

 

"Kelas aset ini, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), menyumbang 27 peratus atau RM5.14 bilion kepada pendapatan boleh agih bagi suku pertama 2024.

"Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM220 juta pada suku dikaji, sementara instrumen pasaran wang menjana RM690 juta, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini," katanya.

Keseluruhan aset pelaburan KWSP setakat Mac 2024 meningkat kepada RM1.19 trilion, dengan pelaburan luar negara menyumbang 38 peratus daripada keseluruhan jumlah aset.

Pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya adalah dalam ekuiti, terus melebihi jangkauan dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP dengan menjana pendapatan sebanyak RM9.88 bilion, mewakili 51 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.

Pelaburan domestik KWSP pula menyumbang 62 peratus daripada jumlah aset yang sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap, seterusnya memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui faedah dan keuntungan. - Media Telus

#KWSP #AGIHAN #EKONOMI

+ - reset