TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Lebih 300,000 jemaah tanpa permit haji di Makkah berdepan tindakan undang-undang

By
|
Kongsi
image

RIYADH 9 Jun - Berbaki seminggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Haji, Lebih 300,000 jemaah tanpa permit haji yang berada di Makkah berdepan tindakan undang-undang selepas Arab Saudi mula melakukan 'tindakan pembersihan' sejak semalam. 

Menurut statistik rasmi tahun lalu, lebih 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan rukun Islam kelima itu .

Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA), berkata dalam tempoh beberapa hari lalu, individu yang dikesan tiada permit haji termasuk 153,998 warga asing yang memasuki Makkah dengan visa pelancong.

Selain itu, SPA turut memberitahu, seramai 171,587 individu lain dikenal pasti berada di Arab Saudi, namun mereka bukan dalam kalangan penduduk Makkah dan tidak mempunyai permit haji.

Sebelum ini, Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz Abdullah Mohammed Al Al-Sheikh menyeru semua jemaah haji tahun ini untuk mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan, terutama mendapatkan permit haji dan mengambil vaksin.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Ulama Kanan dan Presiden Umum Penyelidikan Ilmiah berkata, menunaikan haji tanpa permit adalah berdosa bagi orang yang melakukannya.

"Tidak boleh tunai haji tanpa permit kerana ini juga selaras kepentingan yang dikehendaki syariah, yang mengutamakan kemaslahatan umum dan menjauhi kemungkaran.

"Kerajaan Arab Saudi menggubal peraturan dan arahan yang bertujuan memudahkan serta mengatur penerimaan jemaah haji, menyediakan mereka dengan segala keselesaan dan membantu mereka melakukan ibadah dengan mudah dan yakin.

"Semua ini memerlukan mereka patuh bagi memastikan keselamatan semua orang dan tujuan-tujuan lain," katanya.

Ibadat haji yang bakal bermula 14 Jun depan wajib untuk dilaksanakan umat Islam yang berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Ia membabitkan pelaksanaan rukun haji dengan jemaah perlu berada berada di Makkah sekurang-kurangnya empat hari dengan ibadah itu turut membabitkan kawasan lain sekitar barat Arab Saudi.

Ramai individu cuba mengerjakan haji melalui saluran tidak rasmi, memandangkan permit rasmi dan pakej haji menelan kos yang tinggi dengan kuota adalah terhad untuk jemaah dari setiap negara.

Kehadiran jemaah dalam skala besar ketika musim haji seperti tahun terdahulu dibimbangi mengundang bahaya, antaranya peristiwa rempuhan pada 2015 ketika ibadah melontar di Mina, yang terletak berhampiran Makkah. 

Insiden berkenaan mengorbankan sehingga 2,300 jemaah dan ia adalah kematian tertinggi pernah direkodkan sepanjang musim haji.

Kebimbangan kemungkinan kejadian sama berulang mendorong pihak berkuasa Arab Saudi mengambil tindakan tegas terhadap jemaah haji yang tidak memiliki permit sah.

Pihak berkuasa wilayah Makkah menerusi hantaran di platform X memaklumkan, sejak semalam lebih 1.3 juta jemaah berdaftar sudah tiba di Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah itu. - AFP

#HAJI #UMRAH #ARABSAUDI

+ - reset