Berita Dunia
Modi menang pilihan raya India, pembangkang pamer prestasi hebat
NEW DELHI 5 Jun - Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang dipimpin Perdana Menteri Narendra Modi memenangi 240 kerusi pada Pilihan Raya Peringkat Kebangsaan negara itu hari ini.
Pengiraan undi pada lewat Selasa bagaimanapun menunjukkan BJP gagal mencapai majoriti mudah sekali gus mempamerkan prestasi pembangkang yang lebih baik daripada yang dijangka.
Trend pengiraan undi menunjukkan BJP memenangi 240 kerusi, tetapi parti pembangkang seperti Kongres Kebangsaan India, Parti Samajwadi, dan lain-lain mendapat sokongan yang signifikan.
Pengiraan 642 juta undi, yang dipungut antara 19 April dan 1 Jun dalam proses pilihan raya yang panjang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, bermula sejak pagi dan menunjukkan bahawa blok pembangkang memberikan saingan lebih baik daripada yang dijangka dalam pilihan raya kali ini.
Parti Samajwadi dijangka memenangi 37 kerusi, Parti Kongres Trinamool Seluruh India (AITC) pimpinan Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee mendapat 29 kerusi, dan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) pimpinan Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin mendahului dengan 29 kerusi.
Lok Sabha, dewan rendah parlimen dwidewan India, mempunyai 543 ahli terpilih.
Kongres, Samajwadi, dan DMK adalah sebahagian daripada "Indian National Developmental Inclusive Alliance" (INDIA), merangkumi lebih daripada 20 parti yang bersatu untuk menewaskan BJP.
Prestasi blok INDIA jauh lebih baik daripada jangkaan kebanyakan syarikat media India dan peninjau pendapat pengundi.
Dalam pilihan raya 2019, Perikatan Demokrasi Nasional (NDA) yang diketuai BJP memenangi 353 kerusi, dengan BJP sendiri memperoleh 303 kerusi.
Oleh kerana kerusi diperoleh BJP jauh daripada 272 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah, ia akan memerlukan sokongan parti lain bagi membentuk kerajaan baharu.
Pencapaian BJP yang lemah memberikan lebih banyak kuasa runding kepada rakan kongsi yang berpotensi untuk membentuk kerajaan campuran kerana Modi ingin menjadi perdana menteri untuk penggal ketiga.
Di Uttar Pradesh, yang menyumbang 80 kerusi dewan rendah, pembangkang mendapat undian besar.
Yang ketara, Calon BJP Lallu Singh kalah kepada Awadesh Prasad dari Parti Samajwadi di Faizabad, kawasan pengundian yang termasuk Ayodhya, bandar di mana Modi merasmikan Kuil Ram pada Januari yang mendapat publisiti hangat.
Modi sendiri menang dengan selesa di Varanasi.
BJP mendahului dalam semua tujuh kawasan pengundian ibu negara New Delhi, dan kelihatan akan memenangi hampir keseluruhan negeri Gujarat, Madhya Pradesh, dan Chhattisgarh.
Pilihan Raya Negeri
Pilihan Raya Peringkat Dewan Negeri di Andhra Pradesh, Arunachal Pradesh, Odisha, dan Sikkim juga diadakan.
BJP menang di Arunachal Pradesh yang bersempadan dengan China untuk kali ketiga berturut-turut, manakala Sikkim Krantikari Morcha (SKM) yang menguasai negeri timur laut Sikkim mendapat mandat untuk memerintah sepenggal lagi, menurut keputusan bagi dua negeri itu pada Ahad.
Parti Telugu Desam yang dipimpin oleh bekas Ketua Menteri Chandrababu Naidu telah kembali ke kuasa di Andhra Pradesh dengan memenangi majoriti kukuh di dewan yang mempunyai 175 kerusi, manakala parti ini kemungkinan akan memainkan peranan di peringkat kebangsaan.
Telugu Desam mendahului 16 daripada 25 kerusi Lok Sabha yang dipertandingkan di negeri itu.
Di Odisha, BJP menewaskan Biju Janata Dal (BJD) yang dipimpin oleh Naveen Patnaik, Ketua Menteri negeri timur itu sejak tahun 2000.
Odisha juga membantu BJP secara besar-besaran dalam meningkatkan jumlah kerusi dewan parlimennya, dengan parti itu mendahului dengan 19 daripada 21 kerusi Lok Sabha negeri itu.
Berita berkaitan
December 4, 2024, 10:55 am
Penamatan undang-undang tentera, rakyat Malaysia di Korea Selatan dinasihat berjaga-jaga
December 2, 2024, 12:19 pm
Trump lantik Massad Boulos penasihat Asia Barat
November 22, 2024, 1:00 pm
ICC keluar waran tangkap ke atas Netanyahu
November 6, 2024, 5:16 pm
Trump menang Presiden Amerika Syarikat sekali lagi
November 1, 2024, 10:27 am
Angka korban ribut 'dahsyat' di Sepanyol cecah 158 orang
October 30, 2024, 9:54 pm
Wanita maut terjatuh dari tangga pesawat
October 24, 2024, 11:02 am
Hizbullah hantar peluru berpandu balas serangan paling ganas Israel
October 23, 2024, 11:55 am
Guru sambilan dipenjara kerana tegur anak polis
October 16, 2024, 12:38 pm
Terima rasuah, Hakim Mahkamah Agung dipenjara 10 tahun
October 4, 2024, 3:16 pm